Ramadan Al-Mubarak: 6 perkara jamin puasa sempurna zahir dan batin...
Dosa yang bermula daripada mulut yang bercakap sia-sia atau mengeluarkan perkataan tidak baik pada Ramadan boleh mengurangkan, malah mungkin sampai ke tahap membatalkan pahala puasa.
Perkara ini merujuk hadis oleh at-Tirmizi bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang tidak dapat meninggalkan daripada berkata-kata sia-sia dan selalu beramal dengannya, maka tiada apa yang diharapkan oleh Allah walaupun ketika itu dia meninggalkan makan dan minumnya (berpuasa).” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Dalam kitab Bahr al-Mazi yang menghimpunkan hadis dikeluarkan Imam at-Tirmizi ada disebutkan enam perkara yang boleh menjamin kesempurnaan puasa, semuanya berkait rapat dengan anggota zahir dan batin manusia iaitu:
* Memejamkan mata daripada membuat maksiat
* Memelihara lidah daripada membuat maksiat
* Menjauhkan telinga daripada membuat maksiat
* Menegah tangan dan kaki daripada membuat maksiat
* Jangan terlalu banyak makan ketika berbuka puasa
* Hati yang bergantung kepada Allah antara mengharap dan perasaan takut kepada-Nya.
Orang yang berpuasa bukan sekadar dikehendaki menjaga mulutnya daripada berkata kotor dan lucah serta melampau, malah dituntut mengawal mulutnya daripada membalas kejahatan mulut orang lain.
Rasulullah dalam pendidikan Baginda mengambil berat persoalan supaya tidak membalas kejahatan dengan kejahatan kerana ia tidak akan menyelesaikan permasalahan, malah lebih memburukkan keadaan.
Dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Jika ada orang berkata-kata kotor kepadanya, maka katakan kepada orang itu bahawasanya aku ini berpuasa.”
Hikmah Rasulullah menyarankan demikian untuk mengelakkan perkelahian dan perbalahan antara dua pihak saudara Islam pada bulan mulia ini demi menjaga kesucian Ramadan.
Ulama ada menyebut bahawa antara punca hilangnya pahala disebabkan kegagalan menjaga anggota pancaindera ketika berpuasa.
Sedekah hanya dapat dilakukan oleh anggota tangan.
Bacaan dan tadarus al-Quran adalah gabungan hubungan antara lidah, mulut dan mata.
Kaki pula akan sentiasa mendorong manusia melangkah ke rumah Allah untuk beribadat sama ada solat fardu atau , sunat Tarawih pada Ramadan.
Ini menunjukkan fungsi serampang dua mata anggota pancaindera manusia.
Segala amalan dalam Ramadan akan terhapus angkara perbuatan pancaindera.
Sebagai langkah mengelakkan daripada pelakuan tidak berfaedah bermula daripada kejahatan lidah, Islam menyarankan mengambil langkah berdiam diri dan mengunci mulutnya bagi memastikan dosa lidah tidak berlaku.
Umat Islam diminta mengawal lidah daripada bercakap yang sia-sia.
Asal saja mahu bertutur, pastikan bahawa ia tidak akan membawa kepada mudarat, terutama jika membabitkan hubungan dengan orang lain.
Malah, ada kalanya lebih baik seseorang itu tidur bagi menjaga pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat, tetapi dalam kadar yang ada batasannya.
Semoga kecemerlangan puasa yang dimulakan dengan niat suci itu terpelihara mulai dari sahur hingga tiba waktu berbuka dan diteruskan hingga ke malamnya, seterusnya sepanjang Ramadan ini.
1 Comments:
At 6:35 AM, maklang said…
salam...
semoga ramadahan kita diberkati Allah, InsyaAllah...
Post a Comment
<< Home